25/01/2012

KEAGUNGAN RASULULLAH S.A.W

بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum W.R.T;

Bulan Rabiulawal yang juga dikenali oleh masyarakat sebagai “Bulan Maulidur Rasul”, yakni bulan di mana kekasih Allah A’zza Wajalla, Nabi Muhammad S.A.W diputerakan. Pada ketika itu, seluruh umat Islam di seluruh dunia akan mengucapkan selawat ke atas baginda Rasulullah S.A.W yang sebanyak-banyak dengan pelbagai cara  antaranya adalah dengan berselawat selepas setiap kali selesai solat fardhu, membuat majlis kesyukuran di rumah-rumah sempena Maulidur Rasul dan lain-lain. Sambutan ini bukanlah untuk mengadakan bida’h dalam beribadah kepada Allah dan Rasul-Nya sepertimana yang
dikaitkan oleh golongan Wahabi akan tetapi sambutannya hanya bagi menghayati, mengingati, memuliakan dan menunjukkan kecintaan kita terhadap Baginda Rasulullah S.A.W yang sanggup berjuang bertungkus-lumus demi menyampaikan kalimah Allah dan seruan Allah (Islam) kepada seluruh umat manusia. Pada masa yang sama, ianya juga untuk kita mengambil  iktibar dan pengajaran daripada riwayat hidup Baginda Rasulullah S.A.W.
أَدَّبَنِى رَبِّى فَأَحْسَنَ تَأْدِيْبِى

“Aku dididik oleh Tuhanku dan aku dididik dengan sebaik-baik didikan”

Itulah sabda baginda Rasulullah S.A.W yang cukup masyhur dan sering diperdengarkan kepada kita apabila dikaitkan dengan akhlak yang mulia lagi terpuji yang dimiliki baginda Rasulullah S.A.W. Sepertimana yang telah kita ketahui, baginda Rasulullah S.A.W telah dilahirkan pada hari isnin, 12 Rabiulawal tahun gajah di kota Mekah Al-Mukarramah yang mana terletaknya di kawasan yang dikelilingi masyarakat Arab Jahiliah yang rosak akhlaknya akan tetapi baginda Rasulullah tidak sedikit pun terpengaruh dengan kehidupan yang tidak bermoral yang bermula dari zaman kanak-kanak Baginda hinggalah Baginda meningkat remaja dan seterusnya menjelang dewasa pada usia 40-an. Pada jangka masa itu, Baginda Rasulullah S.A.W telah berjaya menerapkan perwatakan dan keperibadian serta akhlak yang unggul di dalam diri baginda Rasulullah S.A.W.
وَإِنِّكَ لَعَلَى خُلُقٍ عَظِيمٍ

“Dan bahawa sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang (sangat-sangat) mulia”

(Surah al-Qalam; 4)

Apabila ianya telah begitu jelas di dalam al-Quran, maka tidak dapat diragukan lagi bahawa Baginda Rasulullah S.A.W mempunyai akhlak yang terpuji. Kita sebagai ummat Nabi Muhammad S.A.W perlu dan sepatutnya menjadikan akhlak Baginda sebagai suatu contoh dan teladan yang perlu kita ikuti sepertimana yang disarankan oleh Allah Taala dalam al-Quran: 
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِى رَسُولِ اللهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُوا اللهَ وَاليَوْمِ الأَخِرَ وَذَكَرَ اللهَ كَثِيرًا

“Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari Akhirat serta dia menyebut dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya (pada masa susah dan senang)”

(Surah al-Ahzab; 21)

Di dalam ayat ini Allah Taala telah memberikan kepada kita suatu garis panduan atau penunjuk arah kepada kita supaya mengambil Baginda Rasulullah S.A.W sebagai contoh teladan tetapi malangnya apabila kita melihat umat manusia yang khususnya umat Islam pada hari ini di mana Allah semakin dilupakan, ajaran Rasulullah semakin dijauhkan. Islam hanya pada nama dan pada kad pengenalan diri. Bukan pada akidah, akhlak dan diri masing-masing.

Sebagai kesimpulannya, Rasulullah S.A.W adalah insan yang perlu kita sanjung dan kita sayangi kerana apa yang ada pada Baginda dan apa yang telah Baginda lakukan tidak lain hanya untuk Allah demi menyelamatkan kita dari azab Allah dan menunjukkan kepada kita jalan kebenaran (menuju Allah). Wallahu A'alam.

No comments:

Post a Comment