05/12/2011

11 Rahsia Keceriaan Sepanjang Hayat



   1. Menjaga kesihatan tubuh badan.

Dengan memastikan sumber makanan & minuman dari sumber-sumber yang halal, berkhasiat & seimbang. Makanlah dengan kadar yang sederhana kerana itu adalah salah satu daripada sunnah Rasulullah s.a.w. Seterusnya, mengamalkan riadah pada waktu yang sesuai serta beristirehat dan tidur yang secukupnya iaitu dengan kadar
yang minimum. Selain itu, mengamalkan budaya hidup yang bersih pada tubuh badan, pakaian, tempat tinggal & persekitaran.



    2. Menyemai, memupuk & menjaga keimanan kepada Allah.

Tambahkan ilmu & pengetahuan Islam setiap masa iaitu dengan cara pembacaan, mengikuti kelas pengajian, mendengar ceramah & sebagainya. Seterusnya, mentaati perintah Allah & menjauhi larangan-Nya.

   
   3. Mengamalkan budaya berzikir kepada Allah.

Menyebut & memahami apa yang dizikirkan iaitu zikir-zikr yang mana kalimah-kalimah yang diajar oleh Allah dan Rasul-Nya dan juga yang digalakkan dalam Islam. Firman Allah yang bermaksud:

“Sebab itu, ingatlah Aku (Allah), supaya Aku ingat pula kepadamu, dan bersyukur kepada-Ku, dan janganlah kamu kufur (akan nikmat-Ku).”

(Surah al-Baqarah; 152)

    
      4.   Mempunyai wawasan dan cita-cita.

Hidup perlulah sentiasa mempunyai wawasan dan cita-cita yang baik dan murni tanpa mengira jangka masa. Kemudian, azam dan cita-cita tersebut hendaklah diusahakan dengan bersungguh-sungguh untuk memenuhinya.

“Hidup tanpa cita-cita adalah bagaikan orang yang telah mati sebelum sampai ajal.”
(kata Hukamak)



       5.   Merancang setiap pekerjaan.

Bekerjalah dengan sistematik dengan mempunyai jadual kerja dan kemudian laksanakanlah dengan sebaik mungkin dan bersungguh-sungguh. Jangan sekali-kali dilupakan untuk disertakan dengan doa dan tawakkal semasa mahupun setelah melakukan kerja tersebut. Insya-Allah, mendapat kejayaan dan kesempuranaan dari-Nya.


       6.  Sentiasa penuhi masa lapang.

Aktiflah mengisi masa lapang dengan kerja-kerja bermanfaat seperti membaca bahan bacaan yang berfaedah, berinteraksi dan membuat kerja-kerja kebajikan. Jangan sesekali termenung seorang diri tanpa sebarang pekerjaan kerana ia mampu mengundang pelbagai unsur-unsur negatif.


       7.   Sentiasa berwaspada.

Setiap insan mempunyai musuh dan cabaran yang sentiasa ingin menghancurkan nilai-nilai baik pada diri. Antaranya ialah nafsu dan syaitan. Pagarilah diri daripada unsur-unsur negatif dengan menguatkan keimanan kepada Allah, menguatkan minda dan menguatkan pegangan agama.


       8.   Memilih dalam bersahabat.

Pilihlah sahabat yang mampu mempertingkatkan amal soleh, membina dan mengekalkan akhlak yang mulia. Sabda Rasulullah yang bermaksud:

“Perumpamaan orang yang duduk bersama orang soleh dan duduk bersama orang yang rosak akhlaknya adalah seperti mendampingi penjual minyak wangi dan tukang besi. Apabila kita mendekati penjual minyak wangi sama ada membeli atau tidak, kita akan turut mendapat bau harum. Sementara berdampingan dengan tukang besi, rumah kita akan terbakar, baju kita terbakar dan kita turut mendapat bau yang busuk.”

(Riwayat Bukhari daripada Abu Musa)


       9.   Jauhkan diri dari maksiat.

Perbuatan yang haram adalah jijik dan boleh merosakkan akhlak dan kehidupan. Firman Allah yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah (iaitu sejenis amalan melihat nasib yang dilakukan oleh orang-orang jahiliah) adalah kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya, semoga kamu mendapat kejayaan.”

(Surah al-Maidah; 90)



      10.Sentiasa bertaubat kepada Allah.

Apabila terlibat dengan maksiat, bersegeralah bertaubat kepada Allah yakni kembali kepada disiplin dan syariat Islam. Menyesal, serta-merta berhenti dan berazam agar tidak akan mengulangi perbuatan maksiat tersebut. Di samping itu, beristighfarlah. Firman Allah yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat dan Dia mengasihi orang-orang membersihkan diri mereka.”

(Surah al-Baqarah; 222)
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Sesiapa membanyakkan istighfar (memohon keampunan kepada Allah) nescaya Allah menjadikan setiap kesusahan baginya digantikan dengan kesenangan, setiap kesempitan (masalah hidup) dibuka jalan keluar dan dia diberi yang tidak terduga.”

(Riwayat Imam Ahmad dan al-Hakim daripada Ibnu Abbas r.a)



       11. Bersabar dengan ujian & dugaan.

Kuatkanlah semangat dan bersabarlah dikala diuji. Anggaplah ujian daripada Allah itu ada hikmah dan kebaikannya untuk diri demi menguatkan kualiti iman, mungkin sebagai kaffarah atau penebus dosa lalu dan mungkin juga hendak menggantikan dengan nikmat yang lebih baik.

No comments:

Post a Comment